About Me

My photo
Aku bukan manusia yang lengkap segala-gala. bukan juga seorang manusia yang suka mencari pangkat, wang dan kuasa... aku hanya SERANGGA.

Friday, February 27, 2009

Hatiku mulai berkata...


Saat ini aku merenung hamparan bintang di awanan, lalu muncul memori itu bermain di tabir mata bagaikan menyaksikan sebuah filem yang dilayarkan semula. Aku hanya diam tanpa bicara, lalu benak menerawang jauh hingga ke sudut fikiran dalam.

Aku berbahasa seadanya, mengucapkan salam suci "Assalamualaikum" kepadanya. Dia menyambut salamku lalu berlalu tanpa dia sedari aku memerhatikannya sehingga kehujung pengelihatan mata kasarku. Naluriku berbicara "Apa akan dapat bertemunya semula?"

Hari itu, seakan ditakdirkan Ilahi, aku bertemunya semula. Adakah dia masih mengenali atau mengingatiku? Hati kecilku mulai berbicara. Lalu benakku mula menyusun bait-bait bicara agar rasa janggal itu lenyap lesap.

"Hi, apa khabar?" itulah ayat pertama yang aku ucapkan sebaik bertentang mata dengannya.

Dia mengukir sebuah senyuman indah, dan itu sudah memadai buatku sebagai jawapan bagi pertemuan kedua ini.

Aku bertanya akan namanya, "Aerafidah" jawapnya ringkas dan padat. Hatiku tersenyum mekar. "Harap kita akan bertemu semula", harapku setinggi langit.

Pertemuan kedua itu aku abadikan dalam diari hatiku, lalu aku kunci serapatnya agar tiada siapa yang dapat membuka dan membacanya.

Hari berikutnya, dia ku temui lagi, tapi bukan aku yang menegur dahulu, tetapi sebaliknya. Seperti biasa, ucapan suci "Assalamualaikum" menghiasi sepasang bibir mugilnya. Saat aku menoleh ke arahnya, aku rasa bagai berjuta-juta kuntum bunga pelbagai warna dan jenis jatuh dari langit, lalu bercurahan keatas kami berdua sahaja. Alangkah hebatnya fantasiku pada masa itu.

Dia, ku lihat bagaikan puteri, wajahnya dihiasi sepasang mata bulat bersinar. Bertudung dan berbaju kurung hijau daun pisang. Keindahan itu bagaikan tidak terkata.

Pertemuan dalam sebuah majlis memberikan aku banyak peluang untuk berbual dan mengenali hati budinya. Dia, dikurniakan Tuhan sekeping hati lembut yang mudah menerima dan mengenali seseorang. Setiap perkataan dan tutur bicaranya indah dan lembut bagaikan sutera, mampu memukau setiap hati dan jiwa yang mendengar.

Pertemuan itu membuatkan kami mula mengenali antara satu sama lain, dan hubungan sebagai sahabat rapat mulai terjalin. Apa yang pasti aku dan dia sentiasa berhubungan apabila berjauhan. Entahlah, dapatkah dia rasa apa yang aku rasa?

Tiba-tiba, kenangan itu terhenti sampai di situ kerana mendung di awanan mulai menutupi berjuta-juta bintang di atas sana. Ahhhh... entah bila hati ini akan berbicara semula seperti malam ini?

Bisikan rasa?

Pagi ini, aku hanya duduk saja menghadap komputer. without nothing to do, aku try la menulis sedikit sebanyak dalam blog aku ni, sebab sudah lama tidak memasukkan entry baru dalam laman blog aku. lagipun dua orang kawan aku ni masih lagi tidur... Zazaza.

ermm... hari ni, hari jumaat, dan pagi ini juga ada meeting dengan bos Iqram kat ofis Seksyen 25... kul 1.00ptg, pegi solat Jumaat, ntah masjid mana la pigi kali ini. kadang2 kerja kami ini tidak tentu masa, tidak tentu tempat... selagi ada kudrat bergerak, selagi ada minyak kereta... selagi tu la kerja. Hehehehe, lucu kann. tapi ndak apa la, aku suka lagi kerja macam ni... kadang2 tu tengah malam baru balik rumah.

Tapi, apa yang aku ndak suka, bila partner ni suka sangat menyibukkan diri dalam hal-hal yang remeh!! Bukannya apa, mana yang dulu tu sila la didahulukan, ini perkara kecil-kecil pun boleh jadi isu yang besar, boleh diperpanjangkan sampai boleh memeningkan kepala.

Aku? aku buat apa?? aku malas mau campur perangai macam tu, aku buat bodoh saja, bukan bodoh betul! aku diam saja la... kadang2 ndak faham aku. Tapi kadang2 terasa juga diri aku ni, kalau berterusan begitu... nanti terikut-ikut perangai macam tu sendiri naya.

Ermmm... tak pa la, yang penting HIDUP MESTI TERUS...

Arimasen desuka?

Wednesday, February 18, 2009

Puisi dari kejauhan...



Saat aku merenung awan berarakan,
datang wajah-wajah tenang kerinduan,
lalu titisan manik-manik halus berlinangan,
sayu hati sekeping berbicara.

kenangan masa lalu membawa aku terbang,
terbang ke awangan tanpa sayap,
kisah cinta yang membara,
biarlah ku kubur jauh ke dasar.

sendiri menyelubungi diri,
hanya aku dan jiwa di sini,
saat itu terlalu indah,
tapi sayang jiwamu sirna,
ditelan arus keremajaan.

kalaulah kau tahu,
aku hanya merindui mu,
harapkah kau untuk menemuiku?
salam sayang dariku di kejauhan.

Monday, February 16, 2009

Monolog jauh...

aku bangun pagi itu,
terbentang lautan hijau di hadapan,
menanti akan sinaran matahari pagi,
memberi nafas-nafas baru kehidupan.

kenangan yang berlalu,
mungkin sukar untuk diulang,
pahit manis pelbagai rasa sudah kita tempuh,
sedih pilu gembira ketawa rasa itu berlalu...

terik mentari di wakti tengahari,
mengingatkan aku pada ibu dan ayah,
sanggup turun ke bendang memerah keringat untuk anak-anak di rumah,
terima kasih...

ermmm... kenangan itu masih terpahat di kalbu,
walau sudah berpuluh tahun ditinggalkan...

ayah, ibu aku rindu,
saudara-saudaraku...
bila kita akan bertemu,
dan sama-sama bergelak ketawa kembali seperti waktu dulu...

Arghhhh... Bikin panas!!

Aku panas betul la kalau abis betri telepon ni. Padahal semalam sudah cas penuh!! Adussss!!! Panas!! Panas!! Panas!!

p/s: Nasib baik komputer ndak tebakar!!

Blogging, antara keinginan dan ketagihan?


Assalamualaikum W.B.T

Kepada teman-teman seperjuangan sekalian... entry kali ini saya ingin membicarakan tentang aktiviti blog and blogging.

Saya percaya, 99.99 peratus dari anda semua sememangnya mengetahui dan faham akan maksud perkataan "blog" itu. Dan saya juga mempercayai bahawa kalian semua mampu untuk menjawab dengan baik sekiranya diajukan soalan tentang blog and blogging.

Tetapi, apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah, tentang realiti sebenar aktiviti blogging ini. Suatu detik, saya pernah diberitahu oleh kawan saya berkenaan aktiviti blogging ini, dia mengatakan bahawa, aktiviti blogging ini "bahaya", boleh membawa kepada ketagihan dan sebagainya.

BENARKAH SEPERTI YANG DISANGKANYA??

Ermmm... bagi pendapat saya, aktiviti blogging ini sebenarnya suatu aktiviti yang sihat dan baik. Mengapa saya mengatakan sedemikian, kerana, melalui aktiviti ini kita mampu untuk meluahkan pendapat kita, mampu untuk meluaskan pengetahuan, mampu untuk membuka minda dan sebagainya (yang berkaitan dengannnya).

Semua perkata di atas sebenarnya dari aspek positif, tetapi blogging juga ada aspek negatifnya. Sebagai contoh, entry-entry yang dimuatkan di sesebuah laman itu berunsurkan fitnah, hasutan dan membicarakan keburukan... Perkara inilah yang membuatkan aktiviti blogging itu menjadi tidak sihat!

Justeru, persoalan ini saya ajukan semula kepada semua bloggers yang telah berkecimpung dalam dunia ini. Persoalan samada aktiviti ini sihat atau tidak terpulang kepada individu itu sendiri. Sekiranya individu itu "rosak", maka rosaklah entry yang dilakukannya. Sekiranya individu itu baik, maka baiklah entry yang akan diketengahkannya...

Apa-apa hal pun, terpulang kepada empunya badan... CHALLO!! Rock, tetap Rock!!! Yeahhhh!!!

Sunday, February 15, 2009

Wanita, di sebalik kelembutannya...


"Wanita, hiasan dunia,
seindah hiasan adalah wanita solehah,
yang akan membahagiakan cinta di dalam rumah tangga..."

Wanita, mungkin nampak dari luarannya lemah. Tetapi kaum hawa ini adalah golongan insan yang paling kuat sekali berbanding golongan lelaki dari suatu sudut.

Tuhan ciptakan wanita dari tulang rusuk lelaki, supaya dekat dengan hati. Untuk di sayangi, di cintai, dan di kasihi.

Wanita agung, melahirkan pemimpin, pejuang, mujahid dan mujadid sepanjang zaman.

Tangan-tangan halus dan lembut milik mereka telah banyak berjasa mendidik insan yang budiman. Memang tidak dapat dinafikan.

Dan, salah seorang wanita ini adalah bondaku yang gigih dan tabah. TERIMA KASIH BONDAKU TERCINTA...

Cerita tentang Idolaku Umar Mukhtar - Mujadid dan Mujahid agung Libya.

BISMILLAH ARRAHMAN ARRAHIM

"Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih dan Penyayang"

Saya mulakan entry ini dengan menyebut nama Allah Tuhan seru sekalian alam. Yang Maha Bijaksana, Maha Besar dan Maha Berkuasa. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita akan kembali.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa saya meletakkan gambar seorang tua di ruangan ini. Ya, mungkin rama yang tidak mengenali riwayat hidup orang tua ini, kerana dia tidaklah sepopular Michael Jackson, David Backham, Saiful Apek, Awie ataupun yang seangkatan dengannya.

Orang tua ini adalah idolaku, As-Syahid Umar Al-Mukhtar (1862 - 16, Sept. 1931), seorang pejuangan pembebasan Libya yang menentang penjajahan Itali ke atas tanah airnya sekitar tahun 1911.

Beliau dilahirkan di Janzour, Timur Barqa, Libya. Dari zaman kanak-kanak sehinggalah remaja, beliau dididik oleh kedua orang tuanya menjadi seorang muslim sejati. Didikan inilah yang menjadikan dirinya seorang yang berkarisma, dedikasi, bermotivasi, sabar, penyayang, dan mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi. Sebelum zaman penjajahan Itali ke atas Libya, beliau bekerja sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah atau madrasah di kampung halaman beliau.

Zaman penjajahan Itali yang bermula pada Januari 1911, mengubah sepenuhnya kehidupan beliau khususnya dan rakyat Libya secara umumnya. Ini disebabkan sikap kejam tentera dan pemimpin Fasis Itali yang langsung tidak menghormat, membunuh dengan sewenangnya serta merampas hak rakyat Libya secara berterusan.

Kehidupan di bawah penjajahan yang memeritkan, membuatkan Umar Mukhtar bangkit bersama-sama seluruh rakyat Libya untuk berjuang mengangkat senjata bagi membebaskan tanah air yang tercinta.

Umar Mukhtar seorang pakar perang gerila dan tahu akan selok-belok geografi tanah airnya membuatkan para pemimpin Fasis tidak senang duduk. Gabenor demi gabenor silih berganti, tetapi Umar Mukhtar dan para pejuangnya tetap utuh, tidak pernah ditewaskan oleh Kereta Kebal, Pesawat tempur dan senjata-senjata Mesin-gan pihak tentera Fasis Itali.

Sehinggalah pada tahun 1929-30, kedatangan General Graziani untuk menggantikan gabenor sebelumnya, telah bertindak lebih agresif untuk menghentikan perjuangan rakyat Libya yang sudah memakan masa selama 20 tahun. Tindakan pertama beliau adalah dengan menghantar sejumlah tentera untuk memburu dan mengesan kedudukan Umar Mukhtar dan pejuang-pejuangnya. Tetapi usaha ini telah gagal disebabkan para pejuang Libya telah menentang dan menyerang dengan berani pasukan tentera ini.

Keadaan ini memaksa General Graziani mengambil langkah lain, dengan mengatakan "We are not fighting with 500 or 1000 Umar Mukhtar's man. But, we are fighting with whole population of Libya" ini kerana, seluruh populasi Libya sebenarnya menyokong perjuangan Umar Mukhtar dari awalnya. Oleh itu, Graziani telah bertindak dengan 'memenjarakan' kesemua penduduk Libya dengan meletakkan mereka di sebuah Kem Tahanan Sementara (yang lebih berbentuk penjara seperti yang dilakukan oleh Rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza; kerana rakyat Palestin menyokong perjuangan Hamas). Tindakan ini bagi menghalang rakyat Libya supaya tidak menyokong dan membiayai perjuangan pembebasan Umar Mukhtar, kerana selama ini rakyat Libyalah yang bertanggungjawab menyalurkan makanan, ubat-ubatan dan kewangan kepada pasukan pejuang.

Keadaan ini mengakibatkan pasukan pejuang Umar Mukhtar mula menjadi lemah dari aspek persenjataan seperti Peluru dan bahan-bahan amunasi lain. Tetapi, itu tidak menghalang mereka daripada terus berjuang dalam keadaan yang serba daif.

Keadaan ini berterusan sehingga tahun 1931, setelah kedudukan dan pertahanan pasukan pejuang Umar Mukhtar benar-benar tertekan disebabkan oleh tekanan dan serangan yang berterusan dari pihak Fasis Itali. Akhirnya, pada 13 September 1931 Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang hendap berdekatan Zonta dan berjaya ditangkap oleh pasukan tentera Fasis Itali.

Beliau telah dipenjarakan, diseksa dan diperlakukan seperti binatang oleh rejim Fasis Itali. Tetapi keadaan yang memeritkan ini langsung tidak membawa sebarang kesan kepada beliau. Sebarang pertanyaan dan siksaan rejim Fasis itu hanya dibalas oleh beliau dengan membacakan beberapa versi surah dari Al-Quran. Dari awal penangkapan, sehinggalah dimasukkan ke penjara dan sepanjang masa perbicaraan, beliau langsung tidak diperlakukan dengan adil oleh rejim Fasis (sebenarnya, perbicaraan mahkamah tentera rejim Fasis ke atas Umar Mukhtar sehingga ke hari ini dipersoalkan oleh seluruh ahli sejarah dan undang-undang di seluruh dunia).

Akhirnya, pada 16, September, 1931 rejim Fasis Itali telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada Umar Mukhtar di hadapan ribuan rakyat Libya. Walaupun begitu, perjuangan rakyat Libya tidak hanya berakhir di situ. Seperti yang pernah dikatakan olehnya sebelum itu; "We will never surrender. We win (Matyr) or die. Let the next generation to decide and fight, for me, i live long enough in my hangment."

Alhamdulillah, terima kasih kepada Anthony Quinn kerana berjaya dengan sempurna melakonkan watak beliau dalam The Lion of the Desert... Daripada Dia kita datang, kepada-Nyalah kita akan dikembalikan.

Hasil Idea dan Tulisan: Roxy Zaire Awod

Saturday, February 14, 2009

Sebuah perjuangan...

Wahai pejuang kami,
wahai pemimpin kami,

Musuh tidak pernah tidur menyerang kami,
Kami akan mempertahan diri dan tanah air kami sehingga ke akhir hayat,

sambutlah seruan jihad kami,
sambutlah seruan jihad kami,

seranglah!
seranglah!
seranglah!

*********************

Inilah lagu yang dinyanyikan oleh kanak-kanak Palestin sebagai hiburan mereka. Lihatlah kekentalan jiwa mereka, walau apapun keadaannya, walauapapun situasinya, mereka tetap tabah dan terus berjuang.

Sokonglah perjuangan mereka...

Kejahatan itu pasti akan kalah, walaupun hampir-hampir menemui kemenangan!!

Allah Akhbar!!

Buah hatiku...



Mereka yang menghiasi hidupku

Sampaikan salam kasih kepada mereka...

Kain putih yang kita perlu corakkan...

Biarkan kenakalan mereka membingitkan telinga kita kerana ianya akan menjadi kenangan terindah apabila mereka dewasa kelak

Bicara hati seorang perindu...

Saat sunyi mencengkam jiwa,
tiupan angin malam membalut sekujur jiwa,
lantas menggigil dingin bertandang.

masa berlalu pantas tidak terasa,
ku ingat saat-saat indah bersama keluarga tercinta,
apa akan dapat bersama semula,
walau hanya seketika.

suatu masa dulu,
pondok buruk di kaki bukit itu,
pernah menjadi saksi akan kenakalanku,
seakan-akan melambai memanggil ku pulang.

suara bonda memarahiku,
seakan-akan terbit di hujung telinga,
mengalunkan sebuah irama indah,
yang gemersiknya terbit hingga ke kalbu.

suara pak tua bagai dekat di jiwa,
memanggil-manggil untuk aku dekat dengannya,
memaksa untuk aku terus lena,
dibuai memori indah zaman kanak-kanak.

lantas hati berbicara lagi,
aku di perantauan mencari pengalaman,
mengajar diri untuk berdikari,
mengajar diri erti hidup bersendiri,
mengajar diri menjadi tabah,
setabah bonda dan pak tua membesarkan aku dan saudara-saudaraku.

untuk mereka,
walau di mana sahaja,
kita masih berada di langit yang sama,
berpijak di bumi yang sama,
merenung bulan yang sama,
berpaut pada matahari yang sama,
dan apa yang penting adalah,
doaku dan doamu...
akan bertaut di Langit ke-Tujuh.

dengarkanlah bicara hati seorang perindu.

Roxy Zaire Awod
14. Feb. 2009
"Kesunyian melanda mencengkam jiwa"

Shall we dance?

Friday, February 13, 2009

Antara karenah insan dan birokrasi?

Assalamualaikum...

Pagi ni aku bangun lebih awal daripada biasa. Dalam keadaan yang mengantuk dan penat, aku memaksakan diri untuk bangun... bangun dan bangun.

bukannya apa, hari ini ada tugasan yang perlu aku & the geng siapkan. Jadi, hari ini masa kerja kami bermula pada jam 0500am... Mandi, Solat, "Mekap" dan lain-lain, kami bertolak ke satu pejabat kerajaan* yang terletak di tengah-tengah bandar KL yang pesat membangun.

Perjalanan mengambil masa agak lama kerana jalan terlalu sesak... dalam benakku terlintas mengatakan "memang rakyat Malaysia ini kebanyakannya sudah kaya-raya" mampu untuk berkereta sebiji seorang.

monolog punya monolog, kami pun ditakdirkan sampai ke pejabat kerajaan tersebut tepat jam 0900am... dengan rasa senang hati dan bangga kami terus mendaftarkan diri sebagai peserta interview pada jam 0910am. dan mengambil tempat duduk sambil memerhatikan karenah dan gelagat peserta-peserta interview lain yang mendaftar.

setelah semua peserta selesai mendaftarkan diri, nama-nama peserta tersebut pun dipanggil satu per satu.

pada jam yang pertama... tenang dan steady...

jam yang kedua... mata mula layu dan kuyu.

jam yang ketiga... Donut, Megat* dan aku mula melelapkan mata dan terbang ke alam yang lain (tidur la) Zzzzz...

jam yang keempat, kelima dan masa berlalu begitu pantas... akhirnya genaplah jarum jam berputar sampai tepat ke arah angka 12.00t/h.

kami bertiga merasa hairan dan bengong... lantas memberanikan diri untuk bertanya;

"alo encik, nak tanya turn kami untuk interview bila aaa?", kata aku kehairanan.

"u dari mana?"

"Kami dari Syarikat ******* **** datang untuk interview dengan En. ******", kata ku dalam nada yang tegas tapi mendatar.

pegawai tu dalam keadaan terpinga-pinga sambil mencari sesuatu terus menuding jari kepada seseorang; "hah... tu en. ******!!"

jadi kami pun terus serbu ke arah beliau sambil bertanyakan hal tadi. malangnya, jawapan beliau tetap sama dan tanpa rasa tanggungjawab "menendang" kami sekali lagi kepada seseorang.

suhu badan dan lava gunung berapi kami bertiga pada masa itu seolah-olah mendidih dan panas. masing-masing mula mengerutkan dahi dan mengetapkan gigi menandakan rasa tidak puas hati di hati masing-masing.

keadaan itu ditambah lagi dengan pelbagai soalan yang diajukan oleh beberapa pihak yang "ntahapahapantah"!!!

*******************

jam 1230t/h, kami diarahkan masuk ke dalam bilik interview dan bermulalah sesi soal jawab yang membuatkan kami pening kepala...

*******************

Justeru, apa yang cuba untuk saya sampaikan di sini bukan semata-mata sebuah cerita hiburan atau bahan bacaan sahaja, tetapi saya cuba untuk menonjolkan sikap beberapa insan yang langsung tidak peka dan peduli akan keadaan sekelilingnya...

apabila disebut nama bos, atau orang yang paling atas, barulah mereka bergerak atau melakukan kerja.

INILAH SIKAP MEREKA YANG SAMBIL LEWA.

Sekian, Selamat membaca,

Wassalam

Roxy zaire awod.

Sekadar sebuah catitan

Setelah sekian lama aku mengabaikan ruanganku ini, hari ini barulah aku mengambil keputusan untuk menulis sesuatu...

bukannya apa, kadangkala aku merasakan bahawa terlalu banyak perkara yang perlu aku luahkan tetapi "ayat-ayat cinta" itu seolah-olah tidak mampu untuk aku luahkan ke hujung jariku ini. yang hanya mampu aku lakukan ialah membiarkannya berlegar-legar di dalam ruang lingkup benakku sahaja.

ahhh... kehidupan ini memang mencabar untuk dilalui. kadangkala kita sedih, senyum, ketawa, gembira dan bermacam-macam lagi karenah kehidupan yang perlu dilalui.

aku sebenarnya kurang berpengalaman dalam bab blog-memblog ni, tetapi, terima kasih kepada kedua-dua kakak (Surinit & Miracle) aku yang memberikan aku inspirasi untuk aku menghasilkan dan menulis entry dalam blog aku sendiri. Sebenarnya aku jeles membaca entry dorang tu.

sekarang, barulah aku sedari betapa pentingnya untuk kita berkongsi cerita (apa-apa sahaja) supaya kita boleh mempelajari kehidupan seseorang.

Sebenarnya, ini merupakan first entry aku, dan aku cuma mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada semua pemerhati, pelawat dan pendatang yang sudi berkongsi dan membaca ruangan ini.

p/s: aku nak kongsi satu cerita tentang warga KL ni dengan korang semua... tapi tunggu la minggu depan. BEST!!

TQ, Wassalam
Roxy Zaire Awod