About Me

My photo
Aku bukan manusia yang lengkap segala-gala. bukan juga seorang manusia yang suka mencari pangkat, wang dan kuasa... aku hanya SERANGGA.

Tuesday, March 31, 2009

Aku dan kepulanganku?



15. Mac. 2009. 04.00 petang. Aku meninggalkan bumi Di Bawah Bayu itu dengan penuh rasa sayu. Seperti biasa, dengan protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu aku menaiki pesawat MH 2099 ke Kuala Lumpur. Tempat aku mencari rezeki dan pengalaman hidup.

Saat pesawat itu berlepas pergi, perlahan-lahan terbang ke langit biru. Aku merenung tanah kelahiranku dengan seribu satu perasaan rindu dan sayang. Rindu kepada kenangan-kenanganku, sayang kepada insan-insan yang aku tinggalkan di sana. "Ahhh... kesunyian akan kembali dalam hidupku lagi apabila pesawat ini mendarat kelak...", aku bermonolog sendirian.


"Kau tu bila mau kahwin ka?", emakku menyoalku sebelum aku berlepas tadi.


Dan, seperti biasa jawapanku mudah dan ringkas.


"Belum cukup umur lagi la Ma...", aku menjawab sambil tersenyum kecil. Bukannya apa, setiap kali aku bertemu dengan Mamaku itu, soalan pertama yang diajukan kepada ku adalah "kahwin".


"Hah! Setiap kali ditanya, itulah jawapan kau! Kau tu bukannya makin muda. Umur pun sudah hampir 30 tahun, apa nak jadi ni. Ni... anak pak Dollah tu baru lepas Universiti. Apa salah kalau pergi la kenal-kenalan dengan dia tu."


"Isk... apa la Mama ni. Budak tu baru lepas ijazah, biarlah dia cari kehidupan dia dulu. Ala, sudah la Ma, aku berangkat dulu. Kalau ada rezeki, ada la bah tu...", aku segera menggalas begku. Mencium tangan Mama dan Papa, lantas pergi ke ruangan berlepas.


Entahlah, bukannya aku tidak mahu memenuhi permintaan Mama, tapi, persoalannya dengan siapa? Rokiah? Melati? Rozana? Arghh... aku hembuskan kegalauan hatiku diawangan. Dan biarlah takdir yang menentukan soal hidupku sekarang ini.

*****************



07.15 petang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kasman, teman rapatku semenjak kecil menungguku di lapangan ketibaan. Dia seperti biasa tersenyum ke arahku sambil ditemani isterinya, Suraya.

"Welcome back my friend", Sapa Kasman kepadaku. Aku hanya tersenyum padanya dan bersalaman.

"So, how's your vacation?"

"Isk, abang ni, Ron tu baru sahaja keluar dari flight tu. Janganlah tanya macam-macam. Penat tu", Suraya mencubit manja lengan suaminya.

Aku hanya tertawa melihat gelagat mereka. Mesra dan bahagia. Itulah yang aku lihat hubungan kedua suami isteri itu.

"Cuti aku okey saja la. Tiada apa-apa yang menarik. Lagipun kalau itupun dikatakan vacation, aku tetap kerja juga.", aku menerangkan seadanya. Bukannya mengharapkan mereka faham, tapi sekadar memecah kesunyianku dari tadi.

"Jom makan", Kasman mengajak.

"Okey"

"So, kat mana tempatnya?", Suraya menyoal.

"Mana-mana di bawah langit, tempatnya di atas bumi", aku berseloroh kepada mereka.

"Ok, aku tau satu tempat baik punya", Kasman mengajak sambil meniru gaya Zizan dalam rancangan Astro Jozan "Baik punya...".

"Ohh... sebelum terlupa. Ajaklah Syafiqah tu sekali", Suraya memberi cadangan lantas tersenyum penuh makna.

Aku tersenyum, aku mencari telefon bimbitku di saku seluar dan mengeluarkannya. Aku menekan punat search untuk mencari nama Syafiqah dan menekan punat dail.

"Tut... tut... tut..", kedengaran di hujung sana, cuba untuk di sambungkan.

"Assalamualaikum, Ronny, How are you?", suara halus dan merdu menyambut panggilanku di hujung talian sana.

"Walaikumsalan, macamana you tau aku yang call? I am fine, thanks"

Agak sukar untuk aku gambarkan perasaanku saat ini. Gementar? gembira? takut? Bercampur baur dengan kepenatan yang aku alami.

"Ermm... nak keluar makan tak?", aku memberanikan diri untuk bertanya.

"Kat mana?"

"Restoran seafood, Sri Bayu", aku mengajaknya.

"Just both of us?"

Aku tersenyum mendengar soalannya itu. "Kenapa? kalau hanya kita berdua adakah engkau akan bersetuju?" Aku berkata-kata sendirian.

"Apa?", Syafiqah menyoal secara tiba-tiba.

Aku lantas tersentak dari lamunanku.

"Ohh... tak, Suraya dengan Kasman pun ada sama"

"Okey, wait for me. 30 Minutes please", suara itu kedengaran riang di hujung sana. Adakah dia gembira bertemu denganku? "Isk... ini bukan perasaan, tapi perasan" aku bermonolog lagi.

"Okey, Syafiqah, we are waiting for you there. See you then... Assalamualaikum"

"Walaikumsalam"

Talian terputus. Kasman dan Suraya menoleh kearah ku serentak. Mereka tersenyum penuh erti kepadaku.

"So?", Kasman menyoal penuh makna.

"Okey, lets go there", aku faham akan maksudnya itu. Tetapi, aku tidak mengendahkannya. "Ahh... biarkanlah" hatiku berkata-kata sendirian.

*************



Restoran Seafood, Sri Bayu.

Kami mengambil meja di satu sudut dalam restoran itu. Bayu malam yang berhembus terasa segar menyentuh paru-paruku.

Pelayan restoran itu datang sambil mengambil pesanan. Tetapi, Kasman mengatakan sebentar kerana kami sedang menunggu seorang lagi teman. Pelayan itu berlalu sambil tersenyum.



Setengah jam kemudian. Syafiqah datang bersama seorang kanak-kanak, berumur dalam lingkungan 6 tahun. Dia tersenyum manis ke arah ku. Manis.

"Hi... Assalamualaikum semua", salam suci itu diberikan bersama senyuman manis dan lesung pipit indah menghiasi wajah ayunya. Dia mengambil tempat duduknya di sebelahku. Hatiku berbunga riang. Kasman dan Suraya tersenyum senang dan penuh makna.

Kami serentak menjawab "Walaikumsalam".

"Dah order?", Syafiqah menyoalku.

Aku menggeleng, lantas memanggil pelayan restoran tadi untuk membuat pesanan. Pelayan itu datang, kemudian mengambil pesanan kami satu per satu.

15 minit kemudian, makanan kami sampai. Lalu, doa dilafazkan oleh Kasman, dan kami pun mula menyuapkan makanan.

"Mama, tolong hulurkan ikan tu kat, Syafiq", anak kecil itu menyoal Syafiqah. Syafiqah tersenyum, dan menghulurkan ikan itu.

Aku menoleh ke arahnya dengan penuh persoalan. Mama? Siapakah anak itu? Sudah berkahwinkan Syafiqah?

Malam itu, walaupun hatiku dipenuhi dengan bunga-bunga mekar kegembiraan, tetapi benakku dipenuhi dengan seribu satu persoalan tentang wanita yang duduk di sebelah ku ini. Adakah ini cinta atau sekadar perasaan?


Monday, March 9, 2009

Aku, Di Tanah Borneo Utara...

"Hari ini merupakan hari kedua aku di tanah ini. Terasa rindu kepada tanah ini menyebabkan aku mengambil kesempatan untuk melakukan beberapa urusan rasmi di sini. Aku dilahirkan di sini, di tanah ini. Zaman kanak-kanakku penuh dengan suka dan duka. Kenakalanku di kampung dan kenangan pahitku di "tempat itu", satu per satu aku imbau kembali. Bahagianya sekiranya dia ada di sisi. Tapi dia telah lama pergi dimamah oleh masa dan waktu."

Nampaknya aku mengelamun lagi. Ketika ini, aku duduk di birai katil penginapanku di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu. Apa harus aku lakukan? Nampaknya kesunyian melanda kembali, meresap kesanubariku malam ini. Bayu Laut Cina Selatan yang dingin berhembus langsung tidak aku rasakan.

"Satu pagi..." aku bermonolog sendirian. Di luar, kebingitan penduduk kota masih lagi kedengaran. City Parade yang dahulunya dikenali sebagai Center Point oleh penduduk tempatan atau CP masih lagi diterangi oleh cahaya gemerlapan lampu neon.

"Nampaknya kota ini tidak akan tidur..." aku bermonolog lagi.

Krringg... krringgg...

Telefon di sisi mejaku berdering.

"Hello, Assalamualaikum", aku menyambut segera.

"Walaikumsalam, Encik Ronny ka?" Operator Hotel Meridian menyambut salamku.

"Ya saya, ada apa hal?", aku bertanya kembali.

"Panggilan jauh untuk encik..." Operator itu membalas pertanyaanku. "Perlukah untuk saya menyambungkannya kepada encik sekarang?", dia menyambung kembali.

Aku mengiyakan lantas terdengar bunyi klik di hujung sana.

"Hi, How are u, Mr. Ronny?", suara wanita di hujung sana kedengaran lembut dan sayu.

"I am fine, who is this?", aku bertanya kehairanan.

Sunyi... tiada jawapan di hujung sana...

Aku biarkan talian itu sebentar. Sesaat, dua, tiga, empat... Akhirnya aku letakkan semula gangang itu di tempat asalnya dengan penuh pertanyaan.

"Milik siapakah hati ini,
bagai berkurun lama kesepian,
ingin aku mencurahkan kasih,
kepada yang sudi...
adakah ia sudi?"

Sunday, March 1, 2009

Sambungan dari tulisan sebelum ini...



Pagi ini aku memulakan kehidupan lebih awal daripada biasa. Setelah menunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa, aku bertafakur sebentar sambil membaca beberapa ayat dari Kitab Suci Kalamullah. Ketenangan lantas mennjalar ke seluruh urat nadiku pagi ini.

Setelah selesai membaca ayat Suci Allah itu, aku lantas menjeling jam dinding yang terletak di sebelah kiri kamar tidurku. 06.00 pagi. Tanpa berlengah, aku melipat sejadah dan meletakkannya di atas katilku seperti biasa. Aku mencapai tuala mandi, dan menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Masih aku teringat pesanan guru agamaku Ustaz Rahman suatu waktu dahulu, bahawa menjaga kebersihan diri itu adalah sebahagian dari iman dan sunnah Rasul S.A.W.

Sepuluh minit berlalu, aku selesai membersihkan diri dan mula mengenakan pakaian untuk ke pejabatku yang terletak di Bandar Puchong. Seperti biasa aku mengenakan kemeja biru, bertali leher dan berseluar hitam. Rambutku yang panjang itu aku lumuri dengan minyak Zaitun, agar tidak kelihatan kering dan nampak kemas. Sekadar berkaca sebentar di hadapan cermin, "Perfect" kataku sendirian.

Tanpa berlengah, aku mencapai kunci Camerro merah kesayanganku dan memakai kasut hitam berkilat yang sudah 3 tahun berkhidmat denganku. Setelah selesai, aku menuju ke arah Camerro kesayanganku dan menghidupkan enjinnya. Aku membiarkan enjin itu panas seketika lalu memandunya ke lokasi kerjaku di Bandar Puchong.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam itu aku hiasi dengan lagu-lagu Retro kegemaranku di radio Sinar. FM. Siaran radio yang menjadi pilihanku sejak sekian lama.

Syukurlah jalan raya pada pagi ini kesibukannya tidak seperti biasa. "Mungkin insan-insan masih lagi dibuai mimpi indah di pagi isnin ini kerana semalam adalah malam minggu. Seronok!", aku bermonolog sendirian.

Sesampainya aku di hadapan pejabatku, nampaknya aku adalah orang kedua yang sampai. Encik Bakar, pegawai keselamatan di pejabatku sampai dahulu daripada ku. Sudah tentu dia yang sampai dahulu kerana dia perlu membuka pintu pagar dan pintu utama pejabat itu.

"Assalamualaikum Encik Bakar", ucapku ramah sambil tersenyum.
"Walaikumsalam", Encik Bakar membalas mesra sahutan salam dariku.

Setelah itu, aku berbual sebentar dengan Encik Bakar, berkaitan perjalanan hidup masing-masing, sekadar menghilangkan rasa sunyi dan menceriakan suasana. Lalu, aku meminta izin daripadanya untuk masuk ke dalam pejabat kerana jam sudah menunjukkan angka tujuh pagi.

Dari pagi sehinggalah ke tengahari, perjalanan kerjaku berlalu seperti biasa. Penuh dengan beberapa dokumen yang perlu ditandatangani dan diteliti. Mungkin waktu-waktu yang membosankan bagiku. Aku tersenyum sendirian apabila memikirkan akan hal itu.

Sedang aku asyik bermonolog sendirian, telefon di atas mejaku berdering.

"Hello, Assalamualaikum", aku menjawab panggilan tersebut dengan salam suci, sekaligus mendoakan kesejahteraan insan di hujung talian sana.
"Walaikumsalam", suara yang menyambut ucapanku di hujung sana kedengarannya halus dan lembut. Wanita.
"Err.. Encik Ronny Zaire right?", suara itu bertanya. Aku mengiyakan lantas bertanya siapa dan tujuan panggilan tersebut dilakukan.
"Saya diarahkan oleh Datuk Rozaili untuk berjumpa dengan Encik bagi membincangkan sesuatu berkaitan Projek Perda yang telah encik perbincangkan dengan beliau minggu lepas", suara itu berbicara petah dan lancar. "Err.. maafkan saya, I am Syafiqah Nadya, akauntant bagi Syarikat Cempaka Holdings Sdn Bhd. So, bila encik boleh meluangkan masa untuk membincangkan hal tersebut?", suara itu menyambung.
"Ohh... hal tersebut? Err.. lebih baik cik mengaturkan masa dengan PA saya. Sebentar, saya akan sambungkan talian ini kepadanya", aku lantas menekan punat hijau di atas telefon untuk disambungkan kepada Pembantu Peribadiku, Puan Zalehah.

Setelah panggilan itu, aku menyambung kembali kerja-kerja yang terganggu sebentar tadi. Tanpa aku sedari, jam tanganku sudah menunjukkan angka 1.45petang, masa untuk solah Zuhur. Aku menuju ke surau dalam pejabat kecilku lalu menunaikan solat Zuhur. Allah Akhbar.

Petang. Setelah selesai solat, aku menuju ke sebuah restoran "Old Town" untuk menjamah makanan tengahariku. Kemudiannya, aku masuk semula ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum bergegas ke Putrajaya disebabkan ada pertemuan dengang pelanggan syarikatku. Bumiputera North Borneo Company Sdn. Bhd (BNBC).

Beginilah rutin kehidupan harianku, dipenuhi dengan dokumen-dokumen, surat-menyurat dan mesyuarat-mesyuarat yang perlu diselesaikan. Penuh dengan perkara sama, dan membosankan, bagi pendapatku.

************

Pagi, Selasa. Seperti biasa aku memulakan rutin harian dengan bersolat dan bersiap untuk ke pejabatku.

Sesampainya aku di sana, Pn. Zalehah memberikan sedikit informasi berkaitan temujanjiku dengan seorang akauntant Cempaka Holdings.

"Encik Zaire, appointment untuk hari ini, jam 4.30 petang, Cik Syafiqah Nadya, at Victoria Station".

"Okey" aku menjawab pendek dan tersenyum.

4.45 petang, Victoria Station Restaurant, aku tercari-cari kelibat dan siapakah gerangan Cik Syafiqah Nadya ini. Setelah puas memerhati dan mencari, aku mengambil tempat duduk di satu sudut restoran itu.

Setelah 10 minit menunggu dan terus memerhati. Kebosanan mula meresap di jiwaku. "Mana pula orang ni", aku berkata-kata sendirian. Sambil memerhatikan gelagat orang di sekelilingku, di satu sudut aku terlihat sepasang kekasih sedang berbual mesra dan ketawa riang. Bahagia. "Ahh... biarlah kebahagian mereka", aku bermonolog sendirian.

Setelah beberapa minit bermonolog, tiba-tiba muncul seorang wanita dari arah depanku sambil memberikan salam suci, lantas aku membalas salam itu mesra seperti biasa.



Aku mendongak kearah suara tersebut. Sekali lagi aku tercengang, Syafiqah yang aku kenali beberapa hari lepas melalui Kasman dan Suraya muncul di hadapan mataku hari ini dan di tempat ini.

"Assalamualaikum sekali lagi, saya Syafiqah Nadya. Ini encik Ronny Zaire kan?" dia menyoalku sambil melontarkan sebuah senyuman manis di bibirnya. Lesung pipit kelihatan indah di pipinya.

"Walaikumsalam, hah.. ya.. ya.." aku teragak-agak menjawab, tetapi mampu untuk menyembunyikannya. "Emm.. lagi satu, tidak perlu la berencik-encik dengan saya, kita bukan baru kenal hari ini", aku menyambung kata-kataku semula.

Syafiqah hanya tersenyum manis mendengar cadanganku itu dan mula membincangkan beberapa isu berkaitan Projek Perda yang akan diusahasamakan antara kedua-dua syarikat.



Petang itu, aku rasakan kesunyian itu begitu indah kerana kemunculannya. Lantas aku hanya tersenyum dalam diam. Kepenatan yang aku rasa dari pagi tadi seolah-olah lesap lenyap dari benakku. Terima kasih.

Tetapi, keriangan dan keseronokan itu hanya dapat aku rasakan sementara sahaja. Malam ini dan esok hari, bermula semula kesunyian dalam hidupku. Tapi aku bersyukur. Alhamdulillah.

Cerita di sebalik kerinduan...

"Seketika itu sepi mencuit hati hanya suara hujan... " deringan lagu dari telefon bimbit nokia N65 yang baru ku beli malam semalam mengganggu lamunanku tika ini.



Aku tersentak seketika, sambil mencapai telefon bimbit itu yang ku letakkan di sudut meja tulisku. "Kasman" jelas tertera di atas skrin telefon bimbitku yang masih berbunyi, lantas menjawab panggilannya.

"Hello, Assalamualaikum..." ucapku lemah.
"Hoi, baru bangun ka? Ni aku la Kasman", suara di hujung talian sana kedengaran ceria.
"Tau daa..", balasku meniru gaya pertuturan P. Ramlee dalam filem beliau Bujang Lapok.
"Hah, apa "projek" hari ni Ron, takkan masih teringatkan kisah-kisah lama. Sudah la tu, lupakan yang lama, yang baru masih menunggu", katanya berseloroh sambil tergelak besar di hujung talian sana.
"Isk, yang engkau tu ceria semacam saja apa hal? Girl yang engkau try hari tu dapat?", kataku bergurau, sengaja mengubah topik cerita.
Hahahaha... gelak ketawa riang di hujung talian sana jelas. "Jom keluar makan, aku belanja" Kasman mengajakku bersahaja. Lantas aku mengiyakan saja tanpa membantah. "5 minutos, por favor", sambungku lagi.

Tanpa berlengah aku mencapai tuala mandi aku lalu menuju ke bilik mandi. 10 minit berlalu, aku selesai membersihkan diri dan siap berpakaian jeans biru lusuh dan baju T-shirt berkolar. Tanpa berlengah, aku mencapai kunci kereta Camerro 360 Siries Merah kesayanganku.



Dengan bertemankan lagu-lagu Retro dari siaran Radio Sinar.FM, aku memecutkan keretaku kearah kesibukan kota Kuala Lumpur, Ibu negara Malaysia yang tercinta.

Sesampainya aku di sebuah restoran, aku memakirkan Camerro kesayanganku di satu sudut, dan berjalan keluar kearah Kasman yang sedang duduk tersenyum bersama tunangannya Suraya.

"Assalamualaikum", aku mengucapkan salam suci itu kepada kedua mereka.
Kasman menjawab salamku, lalu menyambung, "Ron, hari ini hari Ahad dan aku ada kejutan buat engkau", kasman seolah-olah menyembunyikan sesuatu dari aku.

Aku hanya diam dalam persoalan, "Apa la yang cuba dia sembunyikan ni" monologku ringkas.

Tiba-tiba...

Seseorang muncul dari satu sudut, lantas menarik kerusi di sebelahku dan melabuhkan punggungnya di kerusi itu.

Aku yang terpinga-pinga, membeliakkan mataku ke arah Kasman dan Suraya. "What kind of suprise is this?", monolog ku berpanjangan.

"Well, Ron, this is Syafiqah, an accountant", Suraya mula menyusun bicaranya.

Aku yang masih lagi kebingungan, lantas menoleh kearah gadis yang duduk di sebelah ku tadi.

Sekali lagi aku dikejutkan dengan kejutan mereka. Wajah gadis itu tak ubah malah seperti gadis yang pernah aku kenali 10 tahun lepas "Aerafidah".

Gadis itu tersenyum manis, berlesung pipit. Ya, hanya itu yang membezakan mereka berdua. Lesung pipit di pipi.

Aku tanpa mampu berkata-kata, hanya membiarkan suasana bening seketika...

Siapakah gadis yang duduk di sebelahku itu? Diakah atau seseorang yang lain? Lantas, tika dan saat itu, aku hanya membiarkan tiupan angin menghembuskan segala kata-kata.

TO BE CONTINUE..