
Saat ini aku merenung hamparan bintang di awanan, lalu muncul memori itu bermain di tabir mata bagaikan menyaksikan sebuah filem yang dilayarkan semula. Aku hanya diam tanpa bicara, lalu benak menerawang jauh hingga ke sudut fikiran dalam.
Aku berbahasa seadanya, mengucapkan salam suci "Assalamualaikum" kepadanya. Dia menyambut salamku lalu berlalu tanpa dia sedari aku memerhatikannya sehingga kehujung pengelihatan mata kasarku. Naluriku berbicara "Apa akan dapat bertemunya semula?"
Hari itu, seakan ditakdirkan Ilahi, aku bertemunya semula. Adakah dia masih mengenali atau mengingatiku? Hati kecilku mulai berbicara. Lalu benakku mula menyusun bait-bait bicara agar rasa janggal itu lenyap lesap.
"Hi, apa khabar?" itulah ayat pertama yang aku ucapkan sebaik bertentang mata dengannya.
Dia mengukir sebuah senyuman indah, dan itu sudah memadai buatku sebagai jawapan bagi pertemuan kedua ini.
Aku bertanya akan namanya, "Aerafidah" jawapnya ringkas dan padat. Hatiku tersenyum mekar. "Harap kita akan bertemu semula", harapku setinggi langit.
Pertemuan kedua itu aku abadikan dalam diari hatiku, lalu aku kunci serapatnya agar tiada siapa yang dapat membuka dan membacanya.
Hari berikutnya, dia ku temui lagi, tapi bukan aku yang menegur dahulu, tetapi sebaliknya. Seperti biasa, ucapan suci "Assalamualaikum" menghiasi sepasang bibir mugilnya. Saat aku menoleh ke arahnya, aku rasa bagai berjuta-juta kuntum bunga pelbagai warna dan jenis jatuh dari langit, lalu bercurahan keatas kami berdua sahaja. Alangkah hebatnya fantasiku pada masa itu.
Dia, ku lihat bagaikan puteri, wajahnya dihiasi sepasang mata bulat bersinar. Bertudung dan berbaju kurung hijau daun pisang. Keindahan itu bagaikan tidak terkata.
Pertemuan dalam sebuah majlis memberikan aku banyak peluang untuk berbual dan mengenali hati budinya. Dia, dikurniakan Tuhan sekeping hati lembut yang mudah menerima dan mengenali seseorang. Setiap perkataan dan tutur bicaranya indah dan lembut bagaikan sutera, mampu memukau setiap hati dan jiwa yang mendengar.
Pertemuan itu membuatkan kami mula mengenali antara satu sama lain, dan hubungan sebagai sahabat rapat mulai terjalin. Apa yang pasti aku dan dia sentiasa berhubungan apabila berjauhan. Entahlah, dapatkah dia rasa apa yang aku rasa?
Tiba-tiba, kenangan itu terhenti sampai di situ kerana mendung di awanan mulai menutupi berjuta-juta bintang di atas sana. Ahhhh... entah bila hati ini akan berbicara semula seperti malam ini?